Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Mohamad Salleh berkata dalam kejadian sekitar pukul 7.00 pagi tadi, pihaknya mengesan sebuah bot berenjin sangkut mencurigakan sebelum cuba menahannya.

Beliau berkata menyedari kehadiran Maritim, juragan bot itu sebaliknya bertindak memecut laju ke arah daratan dalam usaha melarikan diri.

"Pemeriksaan ke atas bot menemukan beberapa bungkusan plastik mengandungi 77 karton rokok terdiri daripada lapan jenama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya bot itu juga didapati tidak berdaftar, dan semua barang rampasan bernilai RM13,440 di bawa ke jeti perikanan Lahad Datu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 serta Akta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Muhaimin berkata pihaknya akan terus membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat yang boleh membantu pihaknya dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Lahad Datu dengan menelefon 089-885727 atau MERS 999. - BERNAMA