Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, rakyat perlu bijak membandingkan ketelusan setiap janji di dalam manifesto itu agar mereka tidak tersalah pilih yang boleh menyebabkan kerugian kelak.

Katanya, ini terbukti apabila pihak pembangkang hanya menjanjikan bulan dan bintang tetapi gagal melaksanakan apa yang telah dijanjikan mereka seperti dalam pilihan raya umum sebelum ini.

“Rakyat harus bijak dan rajin membaca lebih-lebih lagi dalam soal manifesto dan jangan mudah percaya dengan khabar angin atau termakan janji palsu pihak tertentu.

“Ini kerana sesebuah manifesto yang baik adalah manifesto yang boleh dilaksanakan tanpa hanya cakap kosong sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pe­nyerahan Bendera dan Alat-Alat Kempen kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Petagas di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan, Shahelmey Yahya.

Yahya yang juga Pengarah Jentera Pilihanraya Parlimen Putatan berkata, dengan adanya pengagihan bendera dan alatan berkempen ini ia sedikit seba­nyak mampu mengukuhkan lagi jentera Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita akan mengagihkannya ke 16 daerah pusat mengundi di sini untuk mereka berkempen menjelang pilihan raya nanti.

“Saya berharap ini dapat menyemarakkan lagi semangat masyarakat di negeri ini dalam mengekalkan serta mengukuhkan pentadbiran BN di Sabah,” ujarnya.