Menurut Ketua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sandakan Lt. Ahmad Roslan Mohd Kamel, APM bersama agensi penyelamat yang lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis akan membantu menghantar mangsa pulang ke rumah masing-masing di Kampung Tolungan Pamol.


"Paras air di Kampung Tolungan Pamol semakin surut. Pengoperasian pusat pemindahan sementara di SK Pamol akan ditutup 5 petang ini," katanya dalam kenyataan di sini.


Sementara itu, Ahmad Roslan berkata esok pihaknya akan menghantar bekalan makanan kepada 61 keluarga di Rancangan Cocos dan 38 keluarga di Kampung Tagas berikutan paras air masih belum surut susulan hujan lebat pada Selasa.


Beliau berkata kampung terbabit terletak berhampiran sungai, menyebabkan keadaan banjir mengambil masa untuk pulih. - BERNAMA