Menerusi peruntukan tambahan itu, banyak pihak menyifatkan kerajaan negeri sedia ada dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) ketika ini bukan sahaja sebuah kerajaan yang mampu membawa perubahan kemajuan sekali gus turut mengutamakan aspek kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Seorang penerima, Mohd. Khairul Nizam Jumadi, 20, menyifatkan bantuan yang diberikan kerajaan itu jelas membuktikan keprihatinan barisan pemimpin selain menjadikan kerajaan yang mengutamakan aspek pembangunan pendidikan kepada rakyat.

Katanya, dengan pemberian bantuan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban pelajar khususnya ibu bapa dalam kos pembelanjaan pendidikan.

“Saya berasa sangat gembira dan terharu dengan bantuan yang diberikan kerajaan ini kerana sekurang-kurangnya dapat me­ringankan beban kami sekeluarga.

“Dengan adanya bantuan ini, saya akan gunakan untuk tujuan pendidikan seperti membayar yuran pengajian untuk semester akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pelanco­ngan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menyerahkan bantuan tersebut kepada pelajar dalam Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Pelajar IPT Anak-Anak Sabah.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sukarti Wakiman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Sementara itu, Mohd. Amal Mohd. Faudzi, 21, yang juga pe­nerima bantuan itu membe­ritahu, bantuan yang disalurkan kerajaan itu juga mampu menyuntik semangat untuk terus memberi fokus kepada pelajaran.

“Sudah pasti dengan adanya bantuan ini ia secara tidak langsung dapat memberi semangat kepada pelajar untuk memberi perhatian serta mencipta kejayaan kelak,” katanya.

Turut berkongsi perasaan gembira, Lauvina Ambrose, 20, berkata, selain dapat meringankan beban, bantuan kewangan itu juga dapat digunakan untuk membeli bahan pendidikan lain seperti buku rujukan dan peralatan peperiksaan.

“Tidak lama lagi kami akan berdepan dengan peperiksaan akhir dan wang bantuan yang diberikan ini boleh digunakan untuk membeli kelengkapan seperti alat tulis, buku rujukan dan sebagainya bagi persediaan untuk peperiksaan nanti,” ujarnya.

Bagi Jusman Nali, 22, pula berharap agar semua pelajar yang menerima bantuan tersebut dapat memanfaatkannya dengan cara yang betul khususnya untuk tujuan pendidikan.

“Bantuan yang diberikan itu pada saya sangat banyak dan ia boleh menampung kos hidup dalam tempoh masa tertentu jika ia digunakan sebaik mungkin.

“Jadi, saya harap agar bantuan itu tidak dipersiakan begitu sehaja sebaliknya dapat membalas kembali melalui keputusan peperiksaan yang lebih baik dan terbaik,” jelasnya.