Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd. Arifin Arif berkata, setakat ini, daripada 32 maahad tahfiz di Sabah, 23 daripadanya telah dibuat pendawaian baharau, manakala ­bakinya akan dite­ruskan sehingga siap tahun ini.

“Perdana Menteri amat menyokong maahad tahfiz sebab itu beliau tahun lalu mahu semua maahad tahfiz seluruh negara termasuk Sabah dilakukan kerja-kerja pendawaian semula.

“Sehubungan itu, di Sabah kerajaan telah melakukannya dan telah mengeluarkan per­belanjaan sebanyak RM400,000 melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan diuruskan oleh GiatMara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kepada 30 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Maahad Tahfiz oleh Perbadanan Baitulmal Sabah (PBDS), di bangunan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini hari ini.

Arifin memberitahu lagi, bahawa bantuan keseluruhan sebanyak RM90,000 itu tidaklah banyak, namun membuktikan komitmen kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan berasaskan agama di negeri ini.

“Saya amat gembira apabila baitulmal memilih untuk me­nyalurkan bantuan itu kepada sistem pendidikan kerana kita tahu dengan adanya pendidikan yang baik setiap individu itu mampu mengubah hidup ma­sing-masing ke arah lebih baik.

“Pendidikan yang baik akan mengangkat martabat seseorang, sebab itu saya ucap teri­ma kasih juga kepada semua penderma dan baitulmal untuk diuruskan,” katanya.

Tambahnya, di Sabah, terdapat 104 sekolah agama negeri (SAN) dan enam sekolah mene­ngah agama yang turut mendapat bantuan sewajarnya sepanjang tahun lalu.