Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Azmir Zain berkata, Long Pasia sudah pun mempunyai infrastruktur penerbangan landasan berlepas dan mendarat yang pendek (STOLport).


"Perbincangan selanjutnya dengan kerajaan negeri akan diadakan bagi menilai kaedah terbaik bagi pengaktifan dan pengoperasian semula STOLport.


"Kami baru sahaja memulakan rundingan dengan kerajaan persekutuan dan merancang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah bagi mengaktifkan Long Pasia. Satu lagi pihak berkepentingan iaitu Malaysia Airports, juga terlibat.


"Long Pasia mempunyai kelebihan dari segi kemudahan sedia ada, dan ia hanya berkaitan dengan pengaktifan dan memastikan ia memenuhi pelbagai piawaian teknikal," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.


Azmir berkata mengikut kajian Mavcom, Long Pasia adalah antara kawasan pedalaman di Sabah yang memerlukan perkhidmatan RAS untuk menyediakan akses kepada penduduk di kawasan itu untuk ke kawasan lain.


Selain Long Pasia, penduduk luar bandar di Bukit Mabong, Kapit, Belaga dan Long Silat di Sarawak juga akan memperoleh manfaat menerusi perkhidmatan RAS sebaik sahaja infrastruktur itu dibangunkan, kata beliau.


Azmir berkata program RAS penting bagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak memandangkan ia merupakan perkhidmatan utama kepada masyarakat dan bukan sekadar keperluan asas.


"Ia juga memperkasa pertumbuhan perniagaan kecil selain membolehkan kanak-kanak daripada komuniti itu mendapat pendidikan yang lebih sempurna," katanya.


Menurut Azmir, program RAS telah berkembang di bawah perjanjian PSO baharu dengan laluan dikurangkan kepada 40 berbanding 49 sebelum ini bagi memastikan konsep sebenar perkhidmatan itu untuk menghubungkan kawasan luar bandar ke luar bandar atau luar bandar ke bandar.


Menerusi perjanjian baharu itu, enam laluan merangkumi Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching-Bintulu dan Kuching-Sibu, dikelaskan semula sebagai laluan komersial sepenuhnya berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.


"Laluan ini tidak lagi memenuhi takrifan PSO dan tidak boleh dikategorikan sebagai RAS berikutan ia dikendalikan bersama oleh MASwings dan syarikat penerbangan komersial. Mavcom berpendapat program RAS yang ditambah baik akan memberi faedah kepada pelanggan di Sabah dan Sarawak dan sektor ini secara keseluruhannya," kata Azmir.


Beliau berkata Mavcom akan terus memastikan RAS dapat memberikan perkhidmatan paling cekap dan berkesan kepada penumpang, selain memastikan penggunaan subsidi kerajaan yang optimum untuk meneruskan intra-ketersambungan udara bagi Sabah dan Sarawak.


"Sistem pemantauan RAS telah dipertingkat dan akan melibatkan maklum balas penumpang supaya kebajikan mereka diutamakan, termasuk mengurangkan pembatalan dan penangguhan serta menambah kekerapan penerbangan," katanya. - BERNAMA