Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata kedua-dua tangkapan dilakukan di daerah ini dengan penahanan pertama pada 2 Jan lepas, membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun yang merupakan perancang kejadian itu.


Beliau berkata susulan tangkapan itu pada 5 Jan lepas, polis memberkas seorang lagi lelaki berusia 64 tahun yang merupakan rakyat tempatan, dan bekerja sebagai nelayan serta pakar membuat bom ikan.


"Hasil siasatan terperinci sehingga membawa kepada tangkapan dua lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan dan mengenal pasti motif kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, hari ini.


Beliau berkata polis kini sedang memburu tiga lagi warga asing berusia lingkungan 30-an yang disyaki ada kaitan dengan kes tersebut, melibatkan dua lelaki dikenal pasti sebagai Lani dan Aris serta seorang wanita dikenali sebagai Siti.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu polis untuk menjejaki ketiga-tiga suspek tersebut.


Omar berkata, polis turut merampas beberapa bahan seperti baja urea untuk membuan bom ikan daripada nelayan yang ditahan itu.


Beliau berkata lelaki berusia 22 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes curi dan pecah rumah, dan kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga Khamis ini.

Mengulas lanjut siasatan kes berkenaan, Omar berkata kes itu bermotifkan untuk mencuri barang kemas dari kedai emas tersebut.

Katanya siasatan lanjut juga mendapati kedai emas yang dipecah masuk itu bukannya menjadi sasaran awal kumpulan terbabit, sebaliknya perancangan asal mereka adalah untuk merompak sebuah kedai emas di luar daerah ini. - BERNAMA