Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Wilfred Magimpa, 44, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi terbabit.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Izaan Abdullah berkata, sebelum kejadian lelaki tersebut sedang memancing sambil minum minuman keras bersama rakannya di sebuah pondok yang terletak berhampiran kolam berkenaan.

“Difahamkan, secara tiba-tiba mangsa bertindak terjun ke dalam kolam itu dan naik semula ke daratan.

“Kemudian, lelaki berkenaan memaklumkan kepada rakan-rakannya dia ingin berenang di tengah kolam dan tiba-tiba tenggelam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Izaan memberitahu, beberapa rakan yang membawa mangsa ke darat mendapati dia telah meninggal dunia.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Pegawai Bomba Kanan II, Rantey Fres memberitahu, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.13 petang.

Bagaimanapun katanya, mangsa terlebih dahulu diselamatkan oleh rakan-rakannya. - UTUSAN ONLINE