Pembinaan lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu, yang melibatkan kos RM12.08 bilion, bukan sahaja akan memberi kemudahan jaringan jalan raya yang selesa di Sabah, malah menjadi perintis dan medan untuk melatih lebih ramai jurutera tempatan berkebolehan.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei serta Kalimantan, Indonesia.

Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP), yang berperanan sebagai koordinator pelaksana projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, memberi kepercayaan kepada ramai jurutera muda tempatan untuk membuktikan keupayaan mereka dalam bidang itu.

Pembinaan bagi 12 daripada 35 pakej dalam fasa pertama lebuh raya itu telah pun dimulakan. Baki pakej pula akan dibina secara berperingkat mengikut kedudukan kewangan negara dengan keseluruhan projek itu dijangka siap pada 2021.


Melalui projek itu, lebih daripada 200 jurutera teknikal termasuk 78 graduan lelaki dan 39 graduan wanita kelahiran Sabah diberi peranan dan tanggungjawab untuk membina laluan lebuh raya itu, yang buat pertama kalinya dilaksanakan di negeri ini.

Menggalas tanggungjawab dengan jurutera yang berpengalaman sememangnya sesuatu yang di luar jangkaan, namun peluang dan amanah yang diberikan itu adalah rezeki tidak ternilai.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari Sandakan, Diana Sela Augustine, 27, mengakui tidak menyangka dapat turut serta dalam pembinaan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Berhasrat menjadi jurutera wanita serba boleh, Diana berkata peluang bekerja dalam projek itu pastinya akan menjadi pengalaman berharga buat dirinya untuk terus mahir dan maju dalam bidang kejuruteraan.

"Untuk mendapat peluang dan pengalaman dalam projek seperti ini, saya perlu mendapatkannya di luar Sabah. Namun, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menjadi titik permulaan kerjaya sebagai jurutera selain mendapatkan pengalaman dan ilmu bidang itu di negeri sendiri," katanya.

Diana terlibat dalam mengendalikan pakej tiga iaitu projek menaik taraf jalan raya Beaufort ke Bongawan sejauh 22.4 kilometer.

Nelissa Christy, 26, juga berbangga kerana berpeluang menyertai projek itu yang membolehkannya meningkatkan kemahirannya sebagai jurutera agar mampu berdaya saing pada masa depan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu komited melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi termasuk memahami skop tugasan, terutamanya melihat lukisan projek bagi membolehkan setiap pandangan, penilaian dan keputusan perlu dibuat dengan tepat dan betul.

"Saya juga diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pelbagai urusan melibatkan pihak lain termasuk yang berkaitan bekalan air, elektrik serta aduan masyarakat kampung (tanah mereka terlibat untuk projek itu)," katanya yang berasal dari Penampang.

Sementara itu, Syazreena Parno, 27, tidak menyangka ijazah Sarjana Muda Sains Geologi UMS membolehkannya dipilih menyertai pembinaan projek lebuh raya itu.

Jurutera muda yang berasal dari Labuan itu diserap sebagai kakitangan BHP Kota Kinabalu setelah menjadi peserta skim latihan dari Mei hingga November tahun lalu.

Beliau kini terlibat dalam pembinaan pakej satu dan dua Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang bermula dari Sindumin ke Beaufort yang sejauh 31 kilometer.

Pengurus Projek Wilayah BHP Kamarulzaman Ahmad pula menyuarakan keyakinannya terhadap komitmen kumpulan jurutera muda berkenaan dalam menjayakan pembinaan lebuh raya itu.

Projek itu juga istimewa kerana turut membariskan kepakaran jurutera wanita tempatan untuk bersama-sama menyumbang tenaga dan idea bagi merealisasikan projek itu untuk manfaat Sabah.

"Dalam setiap pakej pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, pihak pengurusan membentuk satu pasukan jurutera terdiri daripada bakat muda digabung dengan yang berpengalaman.

"Ini merupakan pendekatan yang sangat baik kerana kita berupaya melatih bakat muda yang ada," katanya kepada Bernama.

Menurutnya kesemua jurutera muda berkenaan menunjukkan komitmen dalam menggalas tugas dan kepercayaan yang diberikan walaupun ia bukanlah tugasan yang mudah kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya pengalaman selama 10 tahun.

Namun, kekurangan pengalaman tidak menjadi penghalang kerana kesemua jurutera muda itu mempunyai kemahiran yang diperlukan, katanya.

Kumpulan jurutera muda itu bukan sahaja dilatih tetapi terlibat secara langsung dalam proses pembinaan Pan Borneo Sabah, yang pastinya akan mengasah kemampuan dan mempertingkat kemahiran mereka, sekali gus bakal memberi jaminan peluang pekerjaan apabila selesai projek berkenaan kelak. 

PENDEKATAN LAMA TIDAK SESUAI

Kamarulzaman, 50, menggunakan kemahiran dan pengalamannya lebih 20 tahun sebagai jurutera untuk mendidik jurutera muda berkenaan menerokai bidang itu melalui bimbingan, nasihat dan teguran yang bernas bagi melahirkan jurutera berkualiti dan mampu berdaya saing.


Ia merupakan satu cabaran buatnya selepas menerima tawaran mengendalikan projek itu sejak Mei lalu kerana beliau bukan sekadar bertanggungjawab membentuk pasukan terdiri daripada jurutera muda, malah menerajui pasukan itu dalam mengendalikan projek berbilion ringgit.

"Saya berharap jurutera muda yang terlibat dalam projek ini akan bersama-sama memantapkan pasukan kami serta memahami hirarki, tanggungjawab dan sentiasa berdisiplin. Alhamdulillah, setakat ini mereka memberikan komitmen yang terbaik.

"Mereka memahami setiap tugasan yang diberikan dan menjalankan tanggungjawab dengan dedikasi kerana di sinilah mereka perlu mempelajari segalanya dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan," katanya yang berasal dari Johor. 

Selain menekankan aspek mutu dan kualiti kerja, Kamarulzaman turut memberi suntikan motivasi dan pembentukan minda positif dalam kalangan pasukannya bagi memastikan mereka mampu terus berdaya saing.

 Berkongsi pengalaman ketika awal penglibatannya dalam kerjaya itu pada 1992 termasuk bertugas di Bahrain dan Qatar, beliau berkata jurutera muda ketika itu tidak berpeluang menggalas peranan penting dalam sesuatu projek besar.

"Pada masa sekarang, (pendekatan itu) sudah tidak sesuai kerana kita mahu kalangan jurutera muda diberi pendedahan sejak awal lagi.

"Malah, saya yakin selepas pakej (Lebuhraya Pan Borneo Sabah) yang mereka kendalikan selesai, mereka sudah mampu untuk mengendalikan projek bernilai lebih daripada RM50 juta," katanya yang pernah terlibat dalam pembinaan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Yong Peng-Ayer Hitam). - BERNAMA