Kedudukannya kini sebagai pusat logistik industri minyak dan gas selain pusat kewangan pesisir antarabangsa (IOFC). Malah pulau bernama Labuan ini turut menjadi fokus pendidikan negara menerusi pembukaan Pusat Matrikulasi Labuan serta Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Labuan memiliki sejarahnya yang panjang. Selain diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara British pada 1888, Labuan juga pernah berada di bawah pentadbiran negeri-negeri selat serta Jepun sehingga diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 April 1984.

Begitulah Labuan yang suatu ketika dahulu pernah juga menjadi tempat kapal berlindung daripada ribut serta serangan lanun.

Dalam kunjungan singkatnya ke Labuan bagi merasmikan Pasar Sentral Labuan di Jalan Bunga Tanjung, Ujung Pasir dekat sini baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pulau bebas cukai itu memiliki ciri-ciri bertaraf antarabangsa.

Demikian penegasan beliau yang tidak mahu Labuan sekadar gah dalam konteks domestik. Untuk itu, beliau mengumumkan inisiatif tambahan ke arah melonjakkan kemajuan Labuan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Inisiatif berkenaan adalah seperti berikut:

1) Pemberian subsidi feri bagi penumpang yang dilaksanakan sejak 2013 akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM15 juta setahun.

2) Bagi memudahkan lagi perkhidmatan sistem penyampaian kerajaan, pembinaan Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan akan dilaksanakan.

3) Melengkapkan Pasar Sentral Labuan dengan kemudahan eskalator atau tangga bergerak dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

4) Kemudahan tambahan Kompleks Pendaratan Ikan Labuan menerusi peruntukan RM20 juta.

5) Pembinaan beberapa jalan baharu.

6) Mengkaji penurunan secara ketara duti setem untuk penukaran status tanah pertanian kepada perumahan.

7) Projek pembinaan masjid baharu Kampung Sungai Bedaun sebanyak RM7 juta, pembinaan Surau Nurul Islam di pusat bandar (RM5.5 juta), pembinaan sebuah sekolah menengah agama dan asrama di Kampung Sungai Bedaun (RM60 juta) dan baik pulih Masjid Jamek An Nur (RM5 juta).

Najib memberitahu, pelbagai usaha perlu dilipatgandakan memandangkan Labuan berpotensi besar untuk dimajukan yang mampu merangsang keadaan pusingan ekonomi pulau berkenaan.

“Kita perlu lihat bagaimana kita boleh meningkatkan lagi kemajuan Labuan. Saya senang melihat pembangunan Labuan sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan. Dahulu kita lihat Labuan sebagai sebuah pulau yang agak lembab dan barangkali wajahnya tidak begitu segar.

“Tetapi hari ini jelas sekali hasil perancangan dan strategi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan maka Wilayah Persekutuan Labuan sudah bertukar wajah menjadi pulau yang lebih moden, progresif dan rancak pembangunan ekonominya,” katanya.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Ujar Najib, walaupun Labuan dilihat maju dan moden, tugas untuk membangunkan Labuan di mata dunia tidak berakhir begitu sahaja.

“Kita perlu jadikan Labuan bukan sahaja manfaatnya dalam konteks domestik tetapi memaparkan Labuan sebagai pulau bertaraf antarabangsa,” tambahnya.

Namun tegasnya, segala bentuk perancangan dan pembangunan, mendahulukan kepentingan rakyat seharusnya menjadi keutamaan.

Sementara itu dalam majlis sama, beliau melancarkan penubuhan Yayasan Pendidikan Labuan (YPL) serta mengumumkan bantuan RM2 juta untuk yayasan berkenaan.

“Kalau kita hendak menjamin rakyat mengecapi pembaharuan, kita mesti melabur dalam pembangunan modal insan. Jika anak-anak tempatan Labuan berjaya dalam pendidikan dan memiliki kemahiran tinggi sudah tentu mereka akan mengecapi nikmat pembangunan yang diwujudkan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Rozman yang ditemui berkata, Labuan perlu menjadi sebuah wilayah yang penuh keceriaan dengan rakyat yang ceria serta bersatu padu.

“Mengimbau 45 tahun lalu, semasa saya kecil, Labuan cuma ada pasar kecil, ada 10 buah meja jual ikan dan satu ruangan penjual sayur-sayuran berdekatan terminal feri. Tiga tahun selepas Labuan menjadi Wilayah Persekutuan, kerajaan ‘menghadiahkan’ Labuan sebuah pasar dua tingkat dan sekarang ada lagi pasar yang cukup indah.

“Dengan tiga tingkat dan berhawa dingin, kita dapat mengumpul penjaja berbilang kaum. Kita menghargai usaha kerajaan dan bersyukur dengan pembangunan yang dibawa ke sini,” katanya.

Namun jelasnya, dengan pembangunan yang tumbuh di Labuan, rakyatnya perlu menjadi contoh dalam aspek perpaduan yang ‘dipegang’ selama ini.

Bercakap tentang penubuhan YPL ujarnya, yayasan itu penting bagi memastikan penduduk setempat tidak ketinggalan dan terpinggir.

“Dalam kerancakan pembangunan, daripada sekitar 80,000 orang penduduk kepada 100,000 orang ketika ini, rakyat risau dan rasa terhimpit dengan pembangunan yang begitu cepat itu.

“Mereka bimbang akan tersisih. Sebab itu YPL ditubuhkan. Mesti ada tindakan untuk membantu rakyat tempatan,” katanya.