Seperti tahun-tahun lalu, jalan raya yang biasanya sesak hari ini agak sepi dan kenderaan menyusuri jalan dengan tenang dan lancar. 


Ribuan perantau berpusu-pusu di terminal feri, terminal feri ekspress dan terminal bot laju untuk menuju ke tanah besar.


Para pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan dan Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini adalah antara ramai yang meninggalkan pulau ini menggunakan jalan laut.


"Kami sekeluarga mengambil peluang untuk berkunjung ke Kota Kinabalu kerana cuti umum bermula hari ini sehingga Ahad dan sambung cuti pada Isnin sehingga selepas perayaan Tahun Baru Cina," kata Alfred Nikko Sibli ketika ditemui Bernama di terminal feri.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad mengingatkan orang ramai yang hendak meninggalkan rumah masing-masing seupaya memaklumkan balai polis terdekat sebelum berbuat demikian agar pihak polis boleh membuat pemantauan. 


Kepulangan beramai-ramai perantau itu sedikit sebanyak merisaukan golongan peniaga di pulau ini kerana jumlah pelanggan mereka akan terjejas pada musim cuti panjang ini. -BERNAMA