Ini kerana, kawasan yang berada di kaki pergunungan ter­tinggi di Asia Tenggara itu cukup terkenal dengan pelbagai daya tarikan pelancongan yang unik dan tersendiri.

Menjanjikan iklim sejuk, segar dan nyaman dengan pemandangan indah antara keunikan dan keistimewaan yang terdapat di pekan Kundasang, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sini

Mendapat jolokan ‘New Zealand Malaysia’, kini pekan yang rancak membangun itu dilihat mempunyai potensi besar dan pakej serba lengkap untuk menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kawasan yang berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) itu telah banyak melalui proses pembaharuan baik daripada segi pembangunan mahupun kebajikan.

Menurutnya, setiap kemuda­han asas telah disediakan kerajaan bagi memastikan ke­sejahteraan hidup rakyat terjamin selain merancakan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

“Apa yang menariknya di kawasan ini, semua aktiviti ekonomi seperti pelancongan dan pertanian diusahakan oleh anak tempatan seperti kemudahan resort dan hotel.

“Kerajaan hanya membantu dalam menyediakan peruntukan, selain suntikan semangat bagi memastikan usaha ke arah memajukan sektor pelancongan di kawasan ini dapat dikekalkan dan terus dimantapkan untuk jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Joachim yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang berhasrat untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai pembekal utama produk pertanian ke luar negara.

“Selain mempunyai cuaca yang sejuk, kawasan ini juga memiliki tahap kesuburan tanah yang terbaik sesuai untuk pelbagai jenis tamanan sayur-sayuran tanah tinggi seperti kubis, sawi, cendawan, tomato dan bermacam-macam lagi.

“Sudah pasti, usaha ke arah itu telah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pemacuan ekonomi setempat selain mempromosi Kundasang ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau menambah kata, usaha menambah baik kemudahan infrastruktur juga giat dilaksanakan termasuk rancangan pembangunan bersepadu bagi mengubah wajah pekan itu di bawah pelan jangka panjang kerajaan.

“Kemudahan jalan raya yang disediakan dan kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik untuk memudahkan semua pihak.
 “Usaha ke arah pembangunan sejahtera juga sentiasa dilakukan dan tidak pernah dipinggirkan kerajaan meskipun penduduk kampung berada di kawasan pedalaman,” ujarnya.