Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir berkata, penganjuran program itu bertepatan dengan visi entiti tersebut iaitu menjadi perbadanan contoh dalam membantu pembangunan ekonomi negeri termasuk membentuk masyarakat penyayang dan sejahtera.

“Saya berasa amat bangga apabila program ini yang menjadi aktiviti tahunan beberapa anak syarikat Kumpulan Sedco.

“Sedco amat mengalu-alukan inisiatif mulia ini dalam usaha membantu meningkatkan bekalan darah selain menyelamatkan nyawa golongan memerlukan.

“Dengan usaha murni ini, saya berharap Kumpulan Sedco dapat membantu mengisi tabung darah di hospital seluruh Sabah,” katanya ketika berucap pada pelancaran program Jelajah Kempen Derma Darah Kumpulan Sedco di Wisma Sedco di sini hari ini.

Program jelajah itu akan membuka tirai esok di Harbour Mall Sandakan diikuti Darvel Bay Plaza, Lahad Datu pada 13 Ogos dan seterusnya Tawau sebelum berakhir di Kota Kinabalu.

Menerusi program itu, jelas Pengiran Saifuddin, pihaknya menyasarkan mampu mengumpul sekurang-kurangnya 800 pain darah yang mana 200 pain darah bagi setiap lokasi.

Program yang bertemakan `Setitis Darah Sejuta Harapan’ itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia serta hospital-hospital terlibat. - UTUSAN ONLINE