Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tuaran Adil Naqiuddin Sharif Usman berkata 605 tong LPG 14kg, 110 tong LPG 10kg dan 24 tong LPG 50kg dengan nilai berjumlah RM131,400 dirampas dalam serbuan pada kira-kira pukul 12.25 tengah hari, 24 Jan lepas itu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan untuk tujuan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 dan Peraturan 13 (1) PPKB 1974, membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Adil Naqiuddin berkata pihaknya sedang berusaha mengenal pasti syarikat yang membekalkan LPG itu kepada premis yang tidak berlesen, dan syarikat berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Peraturan 9 (2) PPKB 1974.


Menurutnya KPDNHEP akan terus aktif membuat pemeriksaan berkaitan barangan bersubsidi terutama membabitkan LPG bagi membantu kerajaan menangani ketirisan barang bersubsidi. - BERNAMA