Peter Anthony
Peter Anthony 

Keputusan tersebut dibuat menterinya, Datuk Peter Anthony selepas beliau meninjau sendiri kawasan paip pecah itu menyebabkan air kumbahan di Pusat Kumbahan di Teluk Likas tidak dapat disalurkan ke Pusat Rawatan Air Kumbahan di Inanam dekat sini.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Peter berkata kerja pembaikan paip kumbahan pecah itu melibatkan kos RM3 juta, namun kontraktor dilantik kerajaan negeri sebelum ini gagal melaksanakannya sejak sembilan bulan lepas.

"Ini mengakibatkan air kumbahan di pusat itu terpaksa dialirkan ke perparitan di kawasan berhampiran menyebabkan penduduk sekitarnya tidak selesa terhidu bau air kumbahan," katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah tersebut untuk jangka pendek, kaedah mikro atau secara biologi menggunakan bakteria bagi meneutralkan air di semua parit yang dilimpahi air kumbahan itu akan dilaksanakan.

"Peralatan untuk pelaksanaan kaedah berkenaan akan tiba di kawasan itu dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata untuk jangka panjang, kementeriannya bercadang menggantikan saluran paip kumbahan sejauh 10 kilometer dari pusat kumbahan di Teluk Likas hingga ke Pusat Rawatan Air Kumbahan di Inanam.

Peter berkata langkah itu perlu dilaksanakan kerana saluran paip kumbahan tersebut sudah berusia lebih 30 tahun dan sudah tiba masanya ia diganti baharu bagi menyelesaikan keseluruhan masalah kumbahan di daerah berkenaan.

"Kita akan mengemukakan cadangan itu kepada Ketua Menteri Sabah untuk mendapat kelulusan dan dijangka mencecah kos RM20 juta," katanya.

Dalam pada itu, Peter berkata pihaknya sudah menerima writ saman dikemukakan enam syarikat pengendali loji rawatan di negeri ini yang ditamatkan kontrak mereka, dan writ saman itu diserahkan kepada Peguam Negeri untuk diteliti.

Beliau berkata tindakan menamatkan kontrak enam syarikat pengendali 58 loji rawatan air di negeri ini yang dilantik kerajaan Sabah sebelum ini, merupakan keputusan Kabinet kerajaan negeri baharu. - BERNAMA