Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, peningkatan tersebut amat mengejutkan kerana tertumpu di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu yang masyarakatnya dianggap lebih maju dan berilmu berbanding di luar bandar.

Sehubungan itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, masyarakat di bandar perlu lebih peka menjaga kebersihan di tempat tinggal masing-masing bukannya membiarkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakannya.

“Kalau dulu kita selalu dengar kes denggi berlaku di luar bandar kerana kawasan lebih hutan banyak nyamuk tetapi sekarang di bandar pula menjadi tumpuan kerana masyarakatnya yang berilmu dan berkemajuan terlepas pandang soal kebersihan.

“Statistik menunjukkan 497 kes berlaku di Kota Kinabalu manakala di Tawau pula 370 kes, kedua-duanya bandar besar tetapi kawasan pedalaman seperti Tongod tiada kes direkodkan manakala Kuamut pula hanya enam kes sahaja,” katanya semasa berucap melancarkan Program Gotong-royong Mega Peringkat Daerah Tenom di sini pagi ini.

Gotong-royong tersebut disertai semua agensi kerajaan di daerah itu yang dikelolakan oleh Majlis Daerah Tenom.

Mengulas lanjut Jaujan berkata, PBT memang bertanggungjawab memastikan kebersihan di kawasan lingkungannya, namun keupayaannya amat terhad jika tidak mendapat kerjasama orang awam.

“Sampah sarap itu datangnya dari individu jadi setiap orang mestilah bertanggungjawab tidak boleh PBT laksanakan semuanya kerana kalau kawasan luas contohnya, tukang sapu pula ada berapa orang sahaja,” katanya.-UTUSAN ONLINE