Kementerian itu berkata berikutan kejadian ribut pada 17 Jun itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah melantik kontraktor pada 16 Sept lepas bagi kerja-kerja pembaikan.


KPM berkata tindakan segera sudah diambil untuk memperbaiki kerosakan tiga blok bangunan sekolah (12 bilik darjah), dua blok rumah pekerja, surau, sebuah rumah guru (berkembar) dan pondok perhentian bas sekolah.


"Sebanyak 85 peratus dibaiki dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari ini. JPN Sabah membuat pemantauan rapi bagi memastikan kerja-kerja pembaikan selesai mengikut jadual," kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.


Media melaporkan 800 murid SK Pekan Telupid terpaksa memulakan sesi persekolahan pada 2 Jan lalu dalam khemah sementara.


KPM berkata pihak sekolah dan JPN Sabah sudah memaklumkan status kerja-kerja pembaikan dan keperluan penggunaan khemah sementara kepada ibu bapa, sebelum sesi persekolahan bermula, dan mereka memahami situasi berkenaan.


"Di kesempatan ini, KPM memohon maaf atas ketidakselesaan yang timbul dan mengucapkan terima kasih kepada pelajar, guru dan ibu bapa kerana memahami situasi ini dan terus memberi kerjasama kepada pengurusan sekolah dalam memastikan kerja-kerja baik pulih selesai secepat mungkin," katanya. - BERNAMA