Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebagai contoh, bagi kawasan Parlimen Kinabatangan yang terletak jauh dari bandar, tidak pernah ke­tinggalan dalam soal pemba­ngunan pendidikan, malah se­gala kemudahan pelajaran telah disediakan kerajaan di situ.

Tegasnya, sejak menjadi wa­kil rakyat di situ, beliau sendiri bekerja keras termasuk menyua­rakannya di Dewan Rakyat untuk memastikan anak-anak Kinabatangan mendapat pendidikan sewajarnya.

“Misi saya dari awal sejak dulu lagi adalah untuk mempertingkatkan ilmu di dada anak-anak bangsa saya, walaupun Kinabatangan ini merupakan kawasan yang banyak terpinggir di luar bandar tetapi iltizam saya tidak ada yang mustahil kalau kita benar-benar komited serta berhasrat untuk mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat kita.

“Sebab itu pendidikan di Kinabatangan ini memang jadi agenda perjuangan saya,” katanya ketika berucap dalam majlis agihan Tablet Guru berserta aplikasi Tutor Guru kepada 800 guru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan di sini semalam.

Bung Moktar berkata, hasil perjuangan para pe­mimpin kerajaan Sabah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan rakyat negeri ini telah memperuntukkan seba­nyak RM1 bilion untuk menaik taraf sekolah-sekolah di Sabah melalui Bajet 2018.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berharap para guru dapat menerangkan kepada masyarakat tentang hak mereka untuk berkongsi berita-berita yang betul di laman sosial terutama selepas Akta Antibe­rita Tidak Benar 2018 diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Katanya, peranan setiap guru penting untuk mendidik golong­an muda memandangkan sekarang ramai golongan itu yang mudah terpengaruh dengan berita-berita palsu lalu dikongsikan ke dalam media sosial tanpa usul periksa.

“Malah, ada yang berani memuat naik sesuka hati cerita 20 tahun dahulu dan dengan se­ngaja memberi impak moral yang tidak baik kepada pe­mimpin-pemimpin.

“Pesan kepada masyarakat sesiapa yang kongsi, muat naik, menyiar, menyebar berita tidak tepat dan boleh membawa mudarat kepada mana-mana pihak sama ada kerajaan, individu serta masyarakat boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun,” katanya.