Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak menyalurkan peruntukan yang diurus kementeriannya itu sekiranya usahawan dan bakal usahawan berkenaan berpotensi untuk maju lebih jauh dalan perniagaan diceburi mereka.

"(Penyediaan peruntukan) ini langkah awal untuk memberi usahawan muda, khususnya di luar bandar untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pameran dan jualan produk keluaran Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie, bagaimanapun berkata pemohon atau bakal usahawan berkenaan perlu memenuhi syarat atau kriteria tertentu, termasuk memiliki kesungguhan serta rekod pencapaian baik dalam bidang perniagaan mereka bagi memastikan peruntukan diberikan benar-benar bermanfaat dan tidak disalah gunakan.

"Kita tidak boleh beri bantuan kepada mereka yang hari ini buka perniagaan, keesokan harinya dia tutup kedai...pemohon perlu ada kriteria membolehkan kita mendorong mereka untuk terus terlibat dalam perniagaan," katanya.


Sebagai contoh katanya, pemohon mungkin perlu membuktikan keaktifannya secara berterusan dalam perniagaan dalam tempoh tertentu dan bidang perniagaan itu berupaya menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.


Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mengajak usahawan kecil dan sederhana tempatan agar mengubah cara berfikir mereka dalam usaha mengembangkan perniagaan dengan bijak memilih perkara yang perlu diberi keutamaan.


Katanya keuntungan diperoleh seharusnya dilaburkan semula untuk mengembangkan lagi perniagaan dan bukan membeli sesuatu untuk menunjukkan kemewahan sehingga membebankan diri dan menjejaskan daya saing perniagaan.


"Membina jaringan perniagaan juga adalah penting...usahawan perlu bantu membantu. Dalam perniagaan tidak boleh sendiri-sendiri. Usahawan yang sudah berjaya perlu melabur (dalam sektor yang boleh mencipta peluang pekerjaan)," katanya. - BERNAMA