Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Uda Sulai berkata, hanya dengan menghayati dan mengenang pejuang lampau barulah rakyat akan mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi kini termasuklah di Sabah yang memiliki rakyat berbilang kaum.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, rakyat yang menghargai pengorbanan pejuang terdahulu akan sentiasa beriltizam untuk memelihara keamanan yang dicapai demi masa depan negara.

“Umat Islam perlu menghayati pengertian Hari Raya Aidiladha ini dengan menyemai semangat pengorbanan pejuang-pejuang lampau dan cintakan negara.

“Justeru, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba, kita semua haruslah meningkatkan kesedaran mengenai erti pengorbanan semua pihak bagi mengekalkan keamanan dikecapi sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Majlis Korban Berkelompok di Masjid Nurul Ihsan, Kampung Ketiau dan Masjid Nur Al Jannah, Kampung Petagas, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 100 jemaah Masjid Nurul Iman Pasir Putih di Putatan pagi ini.

Sementara itu, Uda berkata, majlis korban yang diadakan itu bukan sahaja untuk menunaikan fadilat agama tetapi turut meningkatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di kawasan Putatan. - UTUSAN ONLINE