Musa Aman

Malah, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, agensi pe­nguatkuasaan digesa mengambil tindakan terhadap mana-mana pe­ngeluar dan peniaga di negeri ini yang didapati menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati.

Menurutnya, pelaksanaan GST adalah satu langkah kerajaan bagi menyusun dan menambah baik sistem percukaian negara selain mengelak berlakunya cukai terselindung serta pertindihan dan bukan untuk membebani rakyat.

“Tidak dinafikan terdapat segelintir pengusaha yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan bagi mengaut keuntungan.

“Apa yang penting, agensi penguatkuasaan meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menaikkan harga barang atas alasan GST,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran klip video GST di Jabatan Penyiaran Malaysia negeri, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Hajiji Noor serta turut dihadiri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad.

Dalam pada itu, Musa menyeru para pengguna menggunakan kuasa mereka sekali gus mengamalkan pendekatan 3M iaitu memilih, memboikot dan melapor.

“Jadilah pengguna bijak dan menggunakan sepenuhnya hak sebagai pengguna dengan me­laporkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang salah laku serta peningkatan mendadak harga barangan di pasaran.

“Langkah ini juga dapat dilaksanakan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna yang aktif menggerakkan usaha-usaha kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai klip video itu, Musa berharap perkara tersebut memberi gambaran jelas berkaitan pelaksanaan GST, agensi yang terlibat serta impak daripada pelaksa­naannya.

“Rakyat khususnya generasi muda diharap lebih memahami pelaksanaan GST serta kepenting­annya kepada masyarakat dan negara,” katanya.