Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata untuk itu semua pasukan keselamatan di negeri ini telah diingatkan supaya tidak mengambil ringan tentang keadaan keselamatan di semua kawasan.


Beliau berkata tahap kawalan keselamatan yang tinggi penting terutama sekali menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina pada Februari depan kerana sudah tentu ramai pelancong akan berkunjung ke negeri ini.


"Penting bagi kita memastikan aspek keselamatan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Sabah di sini, hari ini.


Antara yang hadir pada mesyuarat itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali.

Mengenai insiden kebakaran yang berlaku di dua kampung di Putatan, dekat sini dan Pulau Banggi di Kudat baru-baru ini, Mohd Shafie bantuan keperluan asas telah diagihkan kepada mangsa yang terlibat.


Katanya agensi yang terlibat khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memastikan agihan bantuan keperluan asas sampai kepada mangsa terlibat. 


Menurutnya beliau menyedari mangsa kebakaran terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara dalam keadaan yang tidak selesa selepas kehilangan tempat tinggal. 


Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua ketua-ketua kampung supaya memastikan penjagaan aspek keselamatan di kawasan jagaan mereka diberi perhatian bagi mengelak berlaku kebakaran.


Kebakaran di Kampung Pasir Putih Putatan pada Jumaat lepas memusnahkan 55 rumah dan menyebabkan 315 penduduk hilang tempat tinggal.


Pada Ahad lepas, 81 rumah dan dua kuarters guru musnah terbakar di Kampung Karakit Pulau Banggi Kudat, mengakibatkan 303 orang hilang tempat tinggal.- BERNAMA