Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hamisa Samat berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh agensi kerajaan terlibat bagi mengelakkan pendapatan nelayan di pesisir pantai tidak terjejas.

Beliau berkata, LKIM juga disaran mengkaji semula pemberian lesen kepada individu atau mana-mana pihak agar penggunaan pukat tunda dapat dikawal.

“Kita sedar masalah golongan nelayan tradisional ini akan berdepan dengan kerugian kerana kehadiran nelayan laut dalam yang turut sama menggunakan pukat tunda.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita menggesa kerjasama daripada agensi penguatkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik nelayan laut dalam yang menggunakan pukat tunda dan menceroboh kawasan penangkapan ikan nelayan pesisir pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan dan dialog bersama 40 nelayan di Kampung Pukat Tanjong Batu, hari ini.

Hamisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu berkata, kumpulan nelayan di kawasan itu berdepan masalah sumber pendapatan ekoran punca tangkapan ikan yang semakin berkurangan.

Menurutnya, aktiviti nelayan laut dalam di kawasan pesisir pantai semakin berleluasa dan mereka seolah-olah `kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa apabila dilihat aktif menjalankan penangkapan ikan terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

“Sejak kebelakangan ini, banyak bot nelayan laut dalam menjalankan tangkapan kurang daripada sembilan kilometer dari pesisir pantai,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, kumpulan nelayan kawasan tersbeut meminta kerajaan mengatasi masalah berhubung tempat pemunggahan ikan dengan menggunakan jambatan sekali gus menjadi laluan penduduk sebagai jeti sementara. - UTUSAN ONLINE