Ketua Kastam Lahad Datu, Awang Yusof Awang Damit (kiri) dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam Lahad Datu, Mohd. Asri Muskil menunjukkan karton minuman keras yang dirampas di Jalan Silam, Lahad Datu, Sabah, Rabu lalu.

Dalam pemeriksaan pukul 2 petang itu, kenderaan berat yang membawa muatan barangan seludup terbabit dikatakan hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan ber­kenaan.

Pengarah Jabatan Kastam negeri, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, pemeriksaan pihaknya ke atas lori jenis Hino yang terbabas itu menemukan ratusan karton minuman keras jenama ‘Burge Meester’ yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Kita percaya 11,688 tin minuman keras bernilai RM17,532 yang ditemukan itu diseludup untuk pasaran tempatan selain gagal membayar cukai bernilai RM55,803.68,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Janathan, tiada tangkapan dilakukan memandangkan pemandu lori terbabit dipercayai melarikan diri sebaik sahaja lori tersebut terbabas.

Bagaimanapun katanya, pihaknya giat memburu pemandu lori berkenaan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan dan penemuan permit perniagaan yang sah pada kenderaan tersebut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 serta rampas lori berkenaan,” ujarnya.