Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kadar ditetapkan itu adalah berdasarkan kepada pola pemakanan terhadap satu gantang atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti pendduduk di negeri ini.

“Jumlah kutipan yang disasarkan untuk zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM9.6 manakala, sasaran bagi zakat harta pula adalah RM6.2 juta.

“Kadar harga zakat ini dilihat kekal dalam tempoh tujuh tahun berturut-turut sejak 2011,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis taklimat amil negeri Sabah 2018 di Wisma MUIS di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Muis Junaidi Jumahad.

Dalam pada itu, Bungsu @ Aziz berkata, sebanyak 2,000 wakil amil dan 37 penyelaras wakil amil dilantik bagi menyelaras dan membuat pungutan zakat sepanjang Ramadan ini.

“Pada tahun lalu, Muis berjaya memungut zakat pada keseluruhannya sebanyak RM8.8 juta iaitu meningkat sebanyak 2.1 peratus atau sebanyak RM2.5 juta berbanding tahun lalu,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pada bulan Ramadan ini, MUIS memperuntukkan sebanyak RM9.4 juta untuk diagihkan kepada golongan yang layak.

“Peruntukan itu akan diagihkan kepada asnaf fakir, golongan miskin dan mualaf bagi menggembirakan hati para penerima dan sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal,” katanya. - UTUSAN ONLINE