Ketuanya, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, kejadian penculikan pada September lalu perlu dijadikan iktibar kerana mendedahkan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti perdagangan membabitkan Malaysia, Filipina dan Indonesia itu kepada jenayah rentas sempadan.

Katanya, lebih membimbangkan ialah jika berlaku penculikan disebabkan peningkatan jumlah kapal yang berdagang, industri pelancongan negeri akan turut terjejas dan amat merugikan rakyat Sabah.

“Ini kerana sumber pendapatan negeri amat bergantung kepada sektor perkhidmatan yang didorong oleh industri pelancongan sehingga kebergantungan itu berada pada 40% daripada jumlah sumber pendapatan negeri pada tahun 2017.

“Dengan jumlah kemasukan pelancong lebih daripada 3.5 juta pada tahun 2017, Sabah kekal muncul sebagai salah satu daripada destinasi ekopelancongan dan pengembaraan yang paling diminati di rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada April 2016, kerajaan negeri terdahulu menghentikan serta-merta sistem barter di semua pelabuhan Sabah sebagai langkah mencegah daripada jenayah antarabangsa terutama penculikan.

Langkah berkenaan dilihat berkesan apabila tiada kes penculikan berlaku sepanjang tahun 2017, namun kesannya menyebabkan ekonomi di pantai timur Sabah lembab dan sukar berkembang.

Berikutan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kelmarin mengumumkan bermula 1 Januari 2019, perdagangan barter akan dimulakan kembali di empat pelabuhan iaitu Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) akan mengambil langkah-langkah wajar untuk memastikan aktiviti perdagangan itu berjalan lancar dan selamat.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri tidak perlu ghairah sebaliknya mendapatkan justifikasi ekonomi terlebih dahulu kerana jika dinilai, industri pelancongan negeri menyumbang RM7.74 bilion pada 2017 sebaliknya dagangan sistem barter hanyalah RM200 juta setahun.

“Sebaliknya, Pemuda UMNO mencadangkan supaya kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah kerana jaringan jalan raya yang baik akan dapat menghubungkan semua daerah dan merancakkan ekonomi negeri,” katanya. - UTUSAN ONLINE