Setiausaha kerajaan negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, agensi kerajaan terlibat juga perlu bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu termasuk usaha-usaha pemindahan.

Malah menurutnya, Pusat Kawalan Operasi Bencana telah diaktifkan di beberapa daerah terjejas bagi menyelaras tindakan bantuan dan penyelamatan jabatan serta agensi kerajaan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiga pusat pemindahan dibuka di daerah Penampang, Papar dan Kota Belud,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata, taburan hujan luar biasa selama dua hari berturut-turut menyebabkan bandar raya ini dan kawasan sekitar dilanda banjir kilat.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, sejumlah 135 milimeter (mm) taburan hujan berlaku semalam, berbanding keadaan biasa iaitu di antara 30 hingga 50 mm sehari.

“Jumlah ini adalah dua kali ganda berbanding taburan hujan biasa dan kejadian hujan lebat selama dua hari ini mengakibatkan banyak kawasan dinaiki air termasuk sekolah.

“Bagaimanapun, syarikat konsesi yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan perparitan mengesahkan tiada masalah parit tersumbat hingga menyebabkan banjir,” katanya pada sidang akhbar pihak berkuasa tempatan (PBT) Berhubung Banjir di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. - UTUSAN ONLINE