Menurutnya, analisis yang dijalankan oleh ST mendapati kebanyakan kes kemalangan dan kebakaran yang berlaku berpunca daripada kecuaian pengguna yang tidak mengambil berat soal pendawaian elektrik yang selamat dan alat perlindungan yang sempurna.

"Justeru, ST mengambil inisiatif untuk menjayakan program-program kesedaran dan kemasyarakatan bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan PAB.

"Ini kerana PAB memerlukan pengujian secara berkala bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan dapat melindungi nyawa," katanya pada Program 'Titik Sentuhan' ST di Pusat Pengajian Darul Hasanah dekat sini.


Program itu diadakan dengan kerjasama kontraktor elektrik di Sandakan yang berdaftar dengan ST.

Amir Faisal turut memberitahu ST menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program 'titik sentuhan' suruhanjaya itu dengan membantu memeriksa dan menambah baik sistem pendawaian di pantai timur Sabah sejak 2016.


Katanya, Pusat Pengajian Darul Hasanah mendapat manfaat program 'titik sentuhan' itu tahun ini.

Antara penambahbaikan yang dilakukan di sekolah tahfiz itu termasuk penambahan pendawaian terhadap punca kuasa dan kipas, penggantian lampu rosak, penukaran kotak papan agihan dan penambahbaikan alat perlindungan, katanya.


Sempena program itu, seminar mengenai keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga turut diadakan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar sekolah itu mengenai keselamatan dan penggunaan elektrik dengan cekap. - BERNAMA