Dr. Teo Kok Seong
Dr. Teo Kok Seong

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, langkah itu perlu bagi memumpuk kefahaman rakyat khususnya di Semenanjung yang masih kurang menghayati Hari Malaysia berbanding 31 Ogos.

“Kalau di Semenanjung sambutan Hari Malaysia masih kurang meriah meskipun kerajaan telah menjadikannya sebagai cuti umum sekian lama.

“Oleh itu, saya mencadangkan acara Hari Malaysia ini diadakan secara bergilir di semua negeri kerana ini adalah hari pembentukan Malaysia, sama pentingnya dengan 31 Ogos,” katanya kepada pemberita sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Media, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Kok Seong berkata, semua pihak perlu sedar bahawa Hari Malaysia merupakan titik tolak permulaan era baharu pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka dan mempunyai rakyat berbilang kaum serta agama.

Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan pula berkata, Hari Malaysia tidak seharusnya melahirkan satu perbezaan dan percanggahan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Sebaliknya, acara ini perlu dijadian agenda penyatuan oleh seluruh rakyat untuk saling menghormati. Perbezaan etnik di Sabah dan Sarawak wajar dirungkaikan dan digarapkan agar boleh dicontohi oleh rakyat di Semenanjung,” jelasnya.

Beliau yang juga seorang penganalisis politik menambah, perpaduan dan integrasi di tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung sangat penting dalam menjamin keamanan negara terus terpelihara.

“Oleh itu, kita menyeru agar seluruh rakyat bersama-sama menjadikan Hari Malaysia sebagai platform untuk melahirkan masyarakat kelas pertama dan sejahtera pad masa depan,” katanya. - Utusan Online