Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pengunjung yang hadir menzahirkan rasa teruja dan seronok dengan me­nyertai pelbagai program terma­suk bengkel keusahawanan dan perniagaan.

Lebih mengujakan mereka apabila kesemua yang hadir dapat membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung yang dijual pada harga durian runtuh.

Beberapa pengguna yang ditemui berpendapat bahawa program tersebut yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi manfaat besar kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan ibu tunggal untuk menjimatkan pembelian harian mereka.

Seorang pengguna, Al Ramadan Rashid, 20, memberitahu, barangan yang dijual hari ini jauh lebih murah berbanding dengan harga biasa.

“Saya memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memperkenalkan program ini di Sabah buat kali pertama.

“Sebelum ini harga sesetengah barangan keperluan harian yang dijual di pasar raya agak mahal dan bagi orang bujang program ini sangat membantu menjimatkan perbelanjaan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi Zulie Shuzira Mafiee, 31, pula program jualan sentuhan itu perlu dilaksanakan dengan lebih kerap di seluruh Sabah berikutan sambutan menggalakkan daripada semua pihak khususnya penduduk di sekitar kawasan ini.

“Program ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Sabah dan inisiatif ini amat bermanfaat kepada golo­ngan yang berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

“Saya tidak mahu ketinggalan membeli barangan yang dijual di sini. Ayam bulat biasa dijual pada harga RM12, namun hari ini dijual pada harga RM5,” katanya dengan nada teruja.

Sementara itu, seorang usahawan, DK. Kamariah AK Z. Abidin, 46, pula memberitahu, diskaun barangan keperluan harian yang ditawarkan kepada pengguna mencecah sehingga 50 peratus.

“Ini adalah masanya untuk orang ramai jika mahu membeli barangan seperti beras dengan jumlah yang banyak. Harga beras lima kilogram dijual pada harga RM10 berbanding harga biasa RM17,” ujarnya.