Presidennya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pasukan keselamatan melakukan siasatan ke atas pengguna akaun bernama Zainnal Ajamain yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di laman sosial itu pada 13 Ogos lalu.

Menurutnya, selain polis, beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan ke atas penama akaun tersebut.

“Penama akaun sebagai Zainnal Ajamain telah mengeluarkan status berbaur fitnah di akaun sosial Facebook beliau dengan mendakwa Musa telah memakan duit kerajaan hingga menyebabkan bandar raya ini banjir.

“Zainnal secara terang-terangan melakukan fitnah tanpa bukti kukuh ke atas ketua menteri hingga status jelik beliau itu telah dikongsi oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing di sini hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, penama akaun Facebook Zainnal Ajamain telah memuat naik status berbunyi “Apa kau tembirang (tipu) sabah ada kemajuan Musa? Ini di KK (Kota Kinabalu) pun boleh banjir - kau tiada duit beli minyak pam kah? atau tu duit pun kau suda songlap (makan)?.

Status itu dimuat naik Zainnal bersama sekeping gambar keadaan banjir yang melanda bandar raya ini minggu lalu.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut menggesa Jabatan Peguam Negara supaya bertindak tegas mengambil tindakan ke atas individu yang `gemar’ menyebarkan fitnah di laman sosial.

Kata beliau, kegagalan pihak Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan membolehkan budaya fitnah dan hasutan di laman sosial berleluasa.

“Kita juga tidak mahu budaya fitnah ini merebak di Sabah,” katanya. - UTUSAN ONLINE