Ketua Staf Bahagian Udara ESSCom, Brig Jen Ayub Khan Mohamad Khan berkata langkah itu bagi memperkasakan lagi tahap keselamatan di zon terbabit dengan aset udara milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerakkan.

"Pesawat ATM dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di pantai timur Sabah akan digerakkan.

"Aset udara yang terlibat seperti Helikopter Fennec TLDM (KD Sri Semporna), Helikopter Nuri TUDM (Tawau) dan Helikopter Agusta (Skuadron 881 Pangkalan Udara Tentera Darat,

Sandakan) manakala dua lagi pesawat iaitu pesawat Hawk dan pesawat B200T masing-masing didatangkan dari 6 Skuadron dan 16 Skuadron yang beroperasi dari Pangkalan Udara Labuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat operasi pemantau udara bersama dengan Detachment-Detachment pesawat ATM, di Pejabat ESSCom di sini, hari ini.

Ayub Khan berkata dengan pemerkasaan kawalan itu, pasukan keselamatan dapat mengenal pasti pencerobohan serta kemasukan anasir luar lebih pantas dan berkesan.

"Langkah drastik ESSCom ini juga bertujuan untuk membanteras semua jenis elemen-elemen jenayah rentas sempadan Malaysia-Filipina yang sering kali menjadikan kawasan ESSZone sebagai 'staging point' untuk melakukan jenayah-jenayah seperti penyeludupan manusia dan barang-barang kawalan serta penculikan untuk wang tebusan," katanya.

Sementara itu, menurutnya pelaksanaan operasi udara sebagai pelengkap kepada operasi-operasi lain dilaksanakan ESSCom termasuk Operasi Bersepadu, Operasi Gasak dan Operasi Gasak Laut.

"Pelaksanaan semua operasi ini juga sebagai satu pendekatan strategik untuk meningkatkan kehadiran dan keberadaan atau 'show of present' pasukan keselamatan khususnya aset udara yang diletakkan di lokasi-lokasi tertentu bagi menunjukkan kesiapsiagaan pasukan udara dalam menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Ayub Khan dalam pada itu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada detachment pesawat ATM yang sentiasa menyokong pasukan udara ESSCom dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan pantai timur Sabah. - BERNAMA