Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, langkah tersebut diambil kerana kerajaan prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat, antaranya memastikan mereka tidak terbeban dengan perbelanjaan yang tinggi setiap kali membeli barangan keper­luan asas terutama makanan.

Katanya, ini juga bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah mampu melaksanakan da­sar yang baik kepada rakyat di samping menyediakan pelbagai bantuan lain kepada mereka seperti yang telah dilakukan selama ini.

“Di pihak kerajaan, kami menyediakan PJSR ini untuk menawarkan harga pelbagai barang makanan dan keperluan harian dengan lebih murah serta berpatutan untuk rakyat.

“Inilah hasrat BN untuk membantu rakyat, kerajaan tidak mahu rakyat terbeban justeru apa sahaja dasar yang baik untuk rakyat akan dilaksanakan dan diperluaskan ke seluruh ne­geri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan PJSR di Program Perumahan Rakyat (PPR) Su­ngai Manila yang dihadiri ribuan rakyat di sini hari ini.

Pelaksanaan PJSR terus di kawasan perumahan berbanding di pusat-pusat perniagaan atau pasar sedia ada itu mendapat sambutan kerana rakyat tidak perlu pergi jauh untuk berbelanja barangan dapur.

Sementara itu, Musa berkata, cadangan menganjurkan PJSR di seluruh negeri juga bertujuan menghapuskan orang tengah yang selalunya berperanan sebagai dalang mengaut keuntungan menyebabkan harga barang melambung tinggi.

Justeru, beliau menyeru se­tiap rakyat agar turun dan ber­belanja di setiap PJSR kerana sokongan daripada mereka akan turut memberi keyakinan kepada peniaga menyertai program-program berkenaan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, mengulas isu lain, Musa berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan penghuni di situ dapat memiliki kediaman PPR melalui sewa beli.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penghuni terus menyokong BN, terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) agar usaha tersebut dapat diteruskan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada setiap penghuni di situ.

“Teruskanlah menyokong BN kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu dan mengubah hidup rakyat, balaslah budi kerajaan selama ini yang telah banyak ber­jasa,” katanya.