Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata, ia bagi memastikan gerak kerja dan perancangan untuk memajukan bandaraya ini dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.

Katanya, bagaimanapun pelaksanaan semua projek yang diluluskan kerajaan negeri terdahulu akan dinilai dan perlu mendapat persetujuan kerajaan ketika ini.

“DBKK sebagai agensi dibawah kerajaan negeri akan sentiasa berada di belakang kerajaan sedia ada untuk meneruskan kemajuan bandaraya selain memberi fokus kepada khidmat terbaik untuk rakyat,” katanya selepas majlis Taklimat Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu kepada Ahli Parlimen itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang.

Sementara itu, Foong Hin berkata, projek yang melibatkan kepentingan rakyat sekali gus mampu memacu ekonomi negeri akan dipercepatkan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh tertentu.

Menurutnya, projek tersebut adalah pembinaan Bas Rapid Transit (BRT), sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir serta pengurusan lalu lintas.

“Projek BRT telah mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat sejak tahun 2016 dan ianya akan kita diteruskan untuk kepentingan semua pihak.

“Usaha-usaha untuk mengatasi masalah banjir juga akan diberi perhatian khusus agar tidak menjejaskan penduduk setempat,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE