Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata, ini kerana pengaruh media alternatif serta masalah konvensional seperti penyalahgunaan dadah adalah cabaran yang perlu dipikul bersama kerana jika tidak boleh menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga.


“Masalah dadah, syabu. Ini semua menjadi punca keluarga rosak kalau tiada program dakwah yang dijalankan di kampung-kampung.


“Kita boleh lihat bagaimana di Kuala Lumpur sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang tidak terjaga membunuh 23 orang sekaligus,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keluarga Sakinah anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di Dewan Masyarakat Sipitang di sini hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Yamani Hafez Musa.


Sapawi yang juga Ketua USIA berkata, Malaysia telah menjadi model dunia melalui beberapa agensi yang ditubuhkan seperti Lembaga Tabung Haji dan Bank Islam, namun kejayaan itu tidak akan menggambarkan kejayaan dakwah Islam dalam kalangan rakyatnya jika institusi keluarga porak-poranda.


Katanya, ibu bapa juga perlu memastikan pengurusan rumah tangga sentiasa baik, memberikan ajaran agama yang secukupnya serta menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka.


Tambahnya, pemimpin-pemimpin agama tempatan seperti guru-guru agama di sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) juga perlu selalu mendampingi masyarakat.


“Yang paling penting kita mantapkan institusi keluarga supaya anak-anak kita mampu menjadi penyumbang kepada negara.


“Tiada guna negara maju kalau anak-anak kita tidak mencapai tahap intelektual yang baik bagi memastikan mereka menjadi pemimpin masa depan,” katanya.