Melihat risiko itu, seorang pengusaha tembikai di Apas Parit, Rakmah Manti, 44, membuat keputusan untuk menghentikan sementara kerja-kerja penanaman tembikai sehingga hujan turun.

Katanya, tindakan itu diambil bagi mengelak tanaman diusahakan rosak akibat kekurangan sumber air.

"(Tentu) rugi, tiada penanaman, tiada hasil kerana kalau di tanam juga tanpa cukup air , tembikai berisiko rosak, dan sekarang ini kita lakukan kerja-kerja pembersihan tanah sahaja, sehingga ada hujan, barulah kita tanam balik," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Rakmah yang akan menuai tanaman tembikai di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan(TKPM) Batu 15 di sini, pada April depan berharap agar buah tersebut tidak rosak.

"Bulan depan (tembikai) boleh tuai, dan kawasan ini tiada masalah air cuma pertumbuhan tembikai pada musim panas, jika tidak cukup air selalunya terbantut (saiz kecil)," katanya kesan lain pada musim panas pula, bil air di TKPM melambung dan pernah mencecah RM2,000.

Di TKPM dan Apas Parit, Rakmah mengusahakan tanaman tembikai kahwin (tidak berbiji) serta tembikai biasa (berbiji) dan pengeluaran pada hari biasa mampu mencecah antara tiga hingga 25 tan metrik setiap dua bulan sekali.

Rakmah dalam pada itu tidak menolak, harga buah-buahan di Tawau akan meningkat jika pengeluaran kurang dan permintaan tinggi.

Sementara itu, seorang pengusaha sayur-sayuran berdaun di Hill Top, Augustina Tandiayu, 45, berkata benih bayam yang disemainya sejak dua minggu lalu terbantut sehingga hari ini.

"Cuaca panas, sayur lambat besar dan ada juga yang kering (mati) akibat tak cukup air," katanya yang mengusaha pelbagai jenis tanaman seperti bayam merah, bayam taiwan, bayam putih dan bayam biasa selain menanam sawi dan kangkung.

Bagi pengusaha sayur sawi di Hill Top, yang hanya dikenali sebagai Yohanes, 50, suhu panas yang semakin meningkat juga membawa kepada masalah serangga perosak yang akhirnya menyebabkan sayur-sayuran berkualiti rendah.

"Ada yang rosak dan tidak boleh dijual lagi," katanya sayur sawi boleh dituai selepas 20 hari dan akan dijual RM6 hingga RM7 satu ikat kepada pemborong.

Augustina dan Yohanes senada berkata jika kualiti sayur yang dihasilkan tidak begitu baik, orang tidak akan membeli dan itu menjadi satu kerugian kepada pengusaha dan lambakan sayuran berlaku.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud berkata, keadaan cuaca panas dan kekurangan hujan di Sabah dijangka berterusan sehingga Mac, kecuali Bahagian Kudat, Sandakan dan Tawau yang dijangka boleh berterusan sehingga April.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata 36 titik panas dikesan sepanjang Februari berikutan cuaca panas dan kekurangan hujan selain faktor pembakaran terbuka.

Katanya satu titik panas turut dikesan di Tawau.-BERNAMA