Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, jalan sepanjang 145 kilometer itu juga adalah satu lagi mercu kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menepati janjinya kepada rakyat.

“Kita (kerajaan BN) berjanji kepada rakyat untuk menurap (naik taraf) jalan ini dan hari ini kita sudah membuktikannya.

“Ini merupakan projek berimpak tinggi yang diusahakan kerajaan bagi keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Jalan Sapulut-Kalabakan di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Musa memberitahu, dengan selesainya kerja-kerja naik taraf jalan berkenaan, ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya tetapi mampu menjimatkan masa perjalanan.

“Cuma kita mahu pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang sedia ada.

“Kita yakin banyak lagi rangkaian jalan raya di negeri ini yang dapat dibangunkan dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pertanian serta pelancongan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri ketika ditemui berkata, kegiatan lori lebih muatan didakwa sering melalui Jalan Sapulut-Kalabakan sehingga menyebabkan kerosakan.

“Oleh yang demikian, kita mahu agensi penguatkuasaan meningkatkan pemantauan di kawasan ini. Lori lebih muatan menyumbang kepada kerosakan jalan raya yang baharu sahaja dinaik taraf ini,” tegasnya.