Beliau berkata BN tidak seperti parti pembangkang yang hanya bercakap bohong dan menabur janji kosong kerana BN mempunyai bukti menunaikan janji kepada rakyat menerusi rekod pencapaian membawa pembangunan termasuk dari segi kemudahan jalan raya, hospital dan sekolah.

Justeru, Musa yang juga ketua menteri mengingatkan rakyat di negeri ini supaya sentiasa berwaspada, dan dalam masa sama, tidak mudah terpengaruh dan terkeliru dengan taktik serta hasutan parti pembangkang yang hanya menabur janji kosong dan bercakap bohong sebagai modal politik mereka.

"Kita (BN) tidak mudah berjanji, kita tidak janji bulan dan bintang atau macam-macam. Kita janji apa yang boleh ditepati dan apa yang boleh diberi (kepada rakyat). Kita berjanji dan kita tepati janji kita," katanya berucap merasmikan Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat peringkat Zon Pedalaman Selatan di Dataran Bagandang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga anggota Parlimen Beaufort dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad yang juga anggota Parlimen Sipitang.

Musa berkata hanya BN parti yang berupaya membawa kebaikan serta kemajuan berterusan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang menerusi pelbagai bantuan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Sebagai ketua menteri, saya berjumpa dengan seluruh (rakyat) Sabah. Alhamdulillah, sambutan orang ramai, pemimpin dan penyokong BN dalam keadaan kukuh dan mantap," katanya.

Katanya kerajaan juga akan terus berusaha melonjakkan lagi pembangunan modal insan golongan belia selain memastikan golongan itu mendapat pekerjaan dalam pelbagai aspek termasuk pertanian, perkilangan dan pembuatan serta pelancongan.

Berhubung jerayawara sehari itu, Musa berkata, ia merupakan lokasi kedua daripada enam lokasi jelajah bagi memberi peluang dan ruang kepada rakyat melihat usaha kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan membangunkan Sabah termasuk dalam bidang keusahawanan.

Pada siri jerayawara itu, katanya, sebanyak 600 peluang pekerjaan ditawarkan kepada belia di kawasan berkenaan.

Sebanyak 80 gerai pameran daripada pelbagai jabatan serta agensi kerajaan menyertai jerayawara itu yang menerima kehadiran kira-kira 5,000 penduduk setempat. - BERNAMA