Katanya, sikap suka menjadi 'pemerhati kehormat' semata-mata adalah tidak baik untuk golongan belia sendiri malahan merugikan negara.

"Ramai belia hari ini tidak sedar bahawa tanpa penglibatan aktif mereka dalam amalan demokrasi, ia bukan sahaja akan menjadikan pentadbiran negara lesu tetapi boleh memberi impak buruk kepada masa depan mereka sendiri jika dasar yang dilaksana tidak tercapai.

"Sebab itu kita di Sabah, sentiasa menasihatkan apa sahaja dasar dan inisiatif yang kita lakukan mesti melibatkan belia atau beri peluang luas untuk belia bergerak dalam apa jua bidang dan platform," katanya.

Shafie berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Anggota Parlimen Kalabakan, Ma'mun Sulaiman sempena penutupan program outreach pendidikan Kampung Iban Kuala Nansang dekat sini, hari ini.

Program yang bermula sejak 12 Jan itu disertai 25 siswa daripada Universiti Islam Antarabangsa dan sepanjang tempoh itu pelbagai aktiviti diadakan termasuk program tuisyen, sukaneka, aktiviti keagamaan serta gotong royong.

Menurut Shafie, tiba masanya belia berfikir ke hadapan, berani memikul tanggungjawab, kreatif dan inovasi.

"Jangan sesekali berfikir bahawa umur belia adalah tahap usia yang masih muda untuk dihabiskan dengan perkara serius atau besar, dan menganggap semasa belialah masa enjoy, ini pemikiran yang salah," katanya.

Beliau berkata yang mencorak dan mewarnakan masa depan adalah diri sendiri dan kerajaan menyediakan pelbagai platform untuk belia meningkatkan diri.- BERNAMA