Keadaan itu turut mengakibatkan seramai 268 orang daripada 101 buah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Baharu Beaufort sehingga pukul 5 petang ini.

Pengerusi Bencana Alam daerah, Mohd. Shaid Othman berkata, sebanyak 30 buah kampung terjejas teruk berikutan air Sungai Padas dicatatkan pada paras 9.26 meter iaitu melebihi paras bahaya akibat limpahan air dari hulu Sungai Padas dari daerah Tenom.

Kata beliau, kampung yang terjejas adalah Kampung Bakalau apabila seramai 234 penduduk dipindahkan selain Kampung Cina (15 orang); Kampung Luagan (sembilan orang); Kampung Bingkul (enam orang); Kampung Jempangah (dua orang) dan masing-masing seorang di Kampung Mempagar dan Kampung Melulugus.

“Selain itu, sebanyak 22 jalan penghubung antara kampung dan pekan Beaufort turut ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

“Jalan itu ialah di Kampung Melulugus, Kampung Lawa, Kampung Lago, Kampung Suasa, Kampung Lupak, Kampung Lubak, Kampung Selinsing, Kampung Kebulu, Kampung Beringin, Kampung Gadong, Kampung Lawa Labi, Kampung Gumarit dan Kampung Lago,“ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Shaid memberitahu, pihaknya dengan dibantu pelbagai agensi penguatkuasaan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir lebih teruk berikutan hujan lebat diramal melanda daerah itu malam ini.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan para penduduk telah diarahkan berpindah sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.

“Bagi bekalan makanan pula, sehingga setakat ini semuanya mencukupi dengan mendapat bantuan pihak polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan (Rela) membantu dalam operasi pemindahan dan keselamatan,“ jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan cuaca tidak menentu khususnya hujan lebat mungkin berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarahnya, Abdul Malik Tussin menjelaskan, risiko keadaan itu sekiranya berterusan boleh menyebabkan banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Cuaca ketika ini secara keseluruhannya agak baik. Kita meramalkan hujan lebat akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga hari ini. Walau bagaimanapun, mengikut laporan awal jabatan, cuaca buruk diramal pada 28 Disember ini,“ katanya.