Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, melalui peruntukan berkenaan, setiap belia terlibat menerima bantuan motosikal, set peralatan kemahiran dan kursus asas keusahawanan untuk memastikan mereka mampu menjalankan perniagaan cemerlang secara berjadual.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan belia di kawasan luar bandar, terutama­nya untuk memulakan langkah sebagai usahawan dalam dunia perniagaan moden.

“Pelbagai program dan inisia­tif yang kerajaan telah diperkenalkan dan ia sentiasa diperkemaskan untuk membangunkan komuniti luar bandar.”

“Di antara pendekatan yang dilakukan itu termasuklah pembangunan modal insan, memperkasakan ekonomi dan keusahawanan di luar bandar melalui mobilepreneur ini,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penye­rahan Mobilepreneur @ KKLW Negeri Sabah di sini semalam.

Musa berkata, inisiatif tersebut adalah untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta inisiatif pembangunan belia luar bandar yang telah dilaksanakan sejak dulu lagi.

Katanya kerajaan sentiasa peka kepada kepentingan membantu usahawan belia kerana dengan bantuan berkenaan mereka mampu berdepan de­ngan cabaran dunia perniagaan dan memastikan apa yang di­usahakan itu mampu bertahan dan berjaya di tahap cemerlang.

“Kerajaan sedia maklum bahawa pembangu­nan luar bandar tidak seharus­nya di pinggirkan.

Ini kerana masyarakatnya mempunyai pe­ranan pen­ting untuk membantu kerajaan membina masa depan yang le­bih cemerlang.

“Kerajaan tahu bahawa untuk memulakan perniagaan, modal sentiasa menjadi satu isu yang kritikal jika dilihat daripada sudut ketahanan sesuatu perniagaan,” katanya.

Tambah Musa lagi, dengan ada­nya pakej mobilepreneur yang diterima dan perniagaan de­ngan modal rendah tanpa premis, dijangka peserta akan lebih berdaya tahan dan mampu mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.