Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel Muliadi al-Hamdi Ladin berkata, sehubungan itu, pusat pemindahan di Dewan Tun Said, Kota Belud yang dibuka semalam telah ditutup pada pukul 3.5 petang tadi.

"Kini hanya terdapat seramai 58 mangsa banjir daripada 22 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kimanis, di sini.

"Keadaan masih terkawal dan APM mendapat kerjasama amat baik daripada semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB),” katanya dalam kenyataan di sini petang ini.

Bagaimanapun, Muliadi berkata, pihaknya serta jawatankuasa pengurusan bencana daerah masih dalam keadaan
bersiap siaga memandangkan amaran angin kencang dan laut bergelora dilaporkan berlarutan sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Azemi Daud berkata, pertembungan angin baratan dan timuran lemah pada aras rendah merentasi negeri ini telah menyebabkan hujan lebat selain dijangka berlarutan hingga 21 Ogos ini.

Katanya, keadaan itu dijangka kekal hingga ke penghujung tempoh ramalan tetapi keamatan hujan tidak sama setiap hari.

"Sehubungan itu, faktor pertembungan angin menyebabkan keadaan cuaca yang lembap dijangka berterusan sepanjang tempoh ramalan. Secara amnya, hujan dan ribut petir dijangka berlaku terutama di timur Sabah pada sebelah pagi.

"Manakala pada sebelah petang pula, ribut petir dan hujan di beberapa tempat dijangka berlaku hampir di kebanyakan bahagian di negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE