Pemangku Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel Mohd. Izaimi Md. Daud berkata, angka itu bagi memenuhi kekosongan jawatan sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan entiti tersebut di Sabah.

“APM yang berperanan sebagai agensi mengawal selia bencana perlu terus diperkukuh demi memastikan penyampaian khidmat kepada rakyat tidak terabai.

“Sehubungan itu, APM negeri memerlukan penambahan keanggotaan termasuk sukarela seramai 180,000 orang menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah APM Sabah, Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohd. Izaimi memangku tugas Mulliadi yang bercuti untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mengulas mengenai persiapan menghadapi musim tengkujuh pada hujung tahun ini, Mohd. Izaimi menambah, pihaknya bersedia berdepan sebarang bencana termasuk banjir.

“APM Sabah giat membaik pulih aset sebagai persediaan menghadapi banjir dan bencana alam lain,” katanya.

Sementara itu, Mulliadi yang berkhidmat di negeri ini sejak 2011 melahirkan rasa terima kasih atas sokongan semua pegawai dan anggota APM hingga membolehkan entiti tersebut memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Kata beliau, insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 serta bencana gempa bumi di Ranau dua tahun lalu akan terpahat dalam minda serta sanubari sebagai kejadian yang sukar dilupakannya sepanjang berkhidmat di sini.

“Kalau kamu (pemberita) tanya saya pengalaman yang sukar saya lupakan ialah pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan gempa bumi di Ranau. Selaku pengarah, saya bukan sahaja memastikan anggota seliaan saya berada pada tahap baik dari segi fizikal sebaliknya menyantuni emosi mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE