Beliau berkata, sokongan tersebut adalah jelas menunjukkan rakyat meletakkan harapan besar kepada BN untuk terus kekal menjadi kerajaan dalam Pili­han Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, ini adalah kerana rakyat tahu dan yakin dengan pelaksanaan dasar kerajaan BN yang telah membawa kemajuan dan pembangunan kepada semua masyarakat.

“Saya sudah pergi ke seluruh kawasan di Sabah. Terlalu ramai rakyat yang melahirkan sokongan kepada BN. Sebahagian daripada mereka datang bertemu saya dan menyatakan pendirian masing-masing, iaitu meminta saya terus mempercayai bahawa mereka setia bersama BN.

“Janganlah risau dan susah kerana kami tetap akan setia bersama BN. Itulah antara yang diungkapkan oleh seluruh rakyat yang telah saya temui,” katanya ketika berucap dalam majlis ­Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas di sini semalam.

Yang turut hadir calon BN kerusi Parlimen Putatan, Datuk Marcus Majigoh; calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Datuk Seri Yahya Hussin dan calon BN kerusi DUN Tanjung Aru, Datuk Edward Yong Oui Fah.

Dalam pada itu, Musa turut mengingatkan kepada semua calon BN untuk terus menyumbang bakti dan jasa kepada rakyat jika diberi mandat dalam PRU-14 ini.

“Saya mahu ingatkan kepada semua calon yang bakal menjadi wakil rakyat kelak. Apabila rakyat sudah memberi kita satu amanah. kita kenalah ingat amanah itu. Jangan sombong dan angkuh.

“Status ‘YB’ (Yang Berhormat) yang diberikan oleh rakyat itu bukan merujuk kepada Yang Berhormat. Sebaliknya ‘Yang Ber­khidmat’ kepada rakyat dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan infrastruktur baharu di kawasan ini untuk memastikan penduduk menerima pendidikan yang baik dan selesa.

“Pelaksanaan projek itu telah bermula dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020,” ujarnya.