Pengarahnya, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, 500 `penghutang’ itu terdiri daripada syarikat sendirian berhad, perkongsian dan milikan tunggal yang telah menghantar penyata tetapi sehingga kini gagal membuat pembayaran kepada JKDM.

Malah, tegas beliau, 500 syarikat yang diburu dalam tempoh operasi selama sebulan itu turut berdepan tindakan mahkamah apabila pegawai JKDM yang membuat operasi akan menyerahkan sampul kecil siasatan sivil.

“JKDM mengesan 1,970 syarikat yang masih belum menjelaskan pembayaran cukai dengan nilai hasil RM105.7 juta.

“Bagaimanapun, bagi operasi selama sebulan ini, kita menyasarkan sebanyak 500 syarikat paling degil dengan nilai hasil belum bayar RM30 juta,” katanya kepada pemberita ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Kutip Hasil RM30 juta 500 Penghutang seluruh negeri di Wisma Kastam di sini hari ini.

Operasi yang bermula hari ini dan berakhir 31 Ogos turut melibatkan 40 pegawai penguatkuasaan JKDM; Jabatan Insolvensi; Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak berkuasa tempatan

Dalam pada itu, Janathan memberitahu, industri makanan terutama restoran merupakan syarikat yang paling tinggi dicatatkan gagal membuat pembayaran cukai kepada pihaknya.

Manakala kata beliau, ia diikuti syarikat pengangkutan, pembinaan dan perkakasan. - UTUSAN ONLINE