Bagi edaran hari ini, lebih 5,000 guru menerima gajet tersebut di lima daerah iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Ranau dan Kuala Penyu.

Pembantu Menteri Pemba­ngunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hamisa Samat berkata, Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia adalah bahan bantu mengajar dan sumber bacaan yang baik untuk para guru.

Beliau berkata, kemudahan itu yang dilancarkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Mei 2016 telah terbukti memberi manfaat, justeru setiap guru perlu menggunakannya.

“Pemberian tablet serta dua aplikasi ini merupakan satu lagi bukti kemahuan pihak kerajaan untuk melihat institusi pendidikan kita dapat memenuhi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menyediakan modal insan cemerlang.

“Selain itu, penyerahan gajet ini juga merupakan hadiah kerajaan buat guru-guru yang menjalankan tugas mendidik anak-anak dengan lebih berkesan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Agihan Tablet Berserta Aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia peringkat da­erah Tawau di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Sin Hwa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengawai Pendidikan Daerah, Darman Shah Asakil; Eksekutif Audit dan Pematuhan Kumpulan Utusan, Che Teh Akbar serta pengetua dan guru besar sekolah-sekolah di sekitar daerah berkenaan.

Sebanyak 3,931 guru daripada 21 sekolah menengah, 60 sekolah rendah, sekolah dalam hospital dan kakitangan pejabat Pendidikan Daerah Tawau akan menerima tablet berkenaan.

Hamisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu turut memuji inovasi Utusan Malaysia untuk membantu guru-guru menerusi penghasilkan teknik pembelajaran lebih mudah menggunakan tablet dan aplikasi Tutor Guru.

“Saya berharap agar para guru memanfaatkan perisian tersebut sebaik yang mungkin. Jadikan aplikasi ini sebagai faktor X untuk anda menghasilkan lembaran kerja yang kreatif dan dinamik.

“Dengan kedua-dua apli­kasi ini, para guru berupaya membangunkan isi kandu­ngan, pen­­dekatan pembelaja­ran berpu­satkan pelajar serta penyelesaian masalah menerusi pelbagai teknik, aktiviti dan kaedah, khususnya yang menjurus kepada Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat di seluruh negeri menerima baik sumbangan dan bantuan yang diberikan itu.