Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai acara menarik disediakan sempena sambutan itu termasuk segmen mengenang wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013.


“Persiapan rapi bagi menyambut Hari Kebangsaan 2017 kini hampir 100 peratus dan dianggarkan sebanyak 190 kontinjen daripada pelbagai agensi, jabatan dan persatuan bakal menyertai perbarisan kali ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Negaraku Malaysia, Sabah Tanah Airku anjuran Arkib Negeri Sabah (ANS), di sini hari ini.


Yang hadir sama, Pengarah ANS, Mohamad Said Hinayat serta pegawai-pegawai kanan di jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri di Sabah.


Pameran tersebut yang merupakan sebahagian daripada program pengisian sempan kemerdekaan tahun ini disertai sebanyak lapan buah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.


Dalam majlis itu, Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri turut mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan koleksi surat milik empat tokoh terkemuka negeri ini termasuk dua legenda bola sepak negara, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani.


Hajiji berkata, surat pengiktirafan daripada Kerajaan Pusat itu diberikan kepada tokoh-tokoh tersebut pada awal pembabitan mereka dalam karier masing-masing dan akan dipamerkan oleh pihak arkib untuk tontonan awam.


Mengenai pameran tersebut, beliau menjelaskan, program itu bertujuan memberikan maklumat kepada masyarakat khususnya generasi muda tentang peristiwa dan detik-detik dilalui oleh tokoh serta pejuang kemerdekaan Sabah terdahulu. - UTUSAN ONLINE