Bukan sahaja terkenal dengan namanya yang unik, namun Pantai Manis yang terletak kira-kira enam kilometer dari pekan Papar merupakan kawasan pantai yang memiliki keindahan alam semulajadi yang cukup lengkap.

Jajaran pantai yang memutih dengan deretan pohon rhu pasti menambat hati setiap pengunjung yang datang ke situ.

Bukan sahaja keindahan pantainya, tetapi lokasinya berhampiran Pulau Tiga, kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot menjadikannya amat berpotensi sebagai sebuah pusat pelancongan utama.

Ekoran daripada itu, kawasan tersebut yang sebelum ini cukup terkenal dengan kekayaan hasil pertanian, kini mahu melihat dan meneroka potensi pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail berkata, usaha itu perlu dimanfaatkan dengan melihat kebolehpasaran produk pelancongan yang ada di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu perlu ditambah baik terutamanya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.

“Sebelum ini, daerah Papar sudah cukup dikenali umum kerana memiliki bermacam-macam hasil pertanian se­perti getah, padi dan buah-­­­­bu­ahan tempatan.

“Namun perkara itu perlu dikembangkan dan apa yang dilihat adalah potensi pelancongan di kawasan ini amat cerah kerana kawasan yang berdekatan dengan pantai dan pulau yang jelas mempunyai daya tarikan pelancongan yang tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut beliau ketika ini ba­nyak projek infrastruktur telah dibina di situ antara sekolah, ­institut pertanian, Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), kilang pendaratan petroleum dan beberapa pusat perniagaan.

Katanya, projek-projek ber­kenaan dilaksanakan kerajaan demi kesejahteraan masyarakat di sini dan menjana ekonomi mereka ke arah lebih baik.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, program inap desa bakal menjadi projek perintis bagi menjayakan dan memastikan perkembangan sektor pelancongan di kawasan dapat direalisasikan.

Katanya, potensi itu perlu dikaji semua pihak dan usaha ke arah tersebut perlu dilakukan bagi mengembalikan semula ke­gemilangan Pantai Manis.

“Kita akan laksanakan dan sekiranya perkara ini dapat dimajukan, ki­­­ta akan te­rus majukan bagi memastikan Papar dan Pantai Manis secara khususnya dapat menjadi lokasi pilihan untuk pelancong­an di negeri ini.