Produk terbaharu keluaran Syarikat Shinora Food Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di Cendering di sini turut mendapat perhatian ramai kerana rasanya yang unik dan boleh dimakan begitu sahaja, sebagai snek ataupun dicicah dengan sup cendawan.

Pengarah Urusannya, Wan Norshiha Wan Embong berkata, hidangan pertama kali diperkenalkan kepada umum hari ini mempunyai tiga perisa iaitu asli, kismis buahan serta bawang putih.

“Orang ramai berpeluang men­dapatkan snek ini pada harga promosi, RM3.50 untuk satu pek sepanjang karnival berlangsung manakala bagi set sup cendawan pula dijual pada harga RM4,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Norshiha berkata, roti bruschette itu dirancang akan dipasarkan di China dan Arab Saudi dalam masa terdekat.

Katanya, sehingga kini syarikat yang mengusahakan kuih sejuk beku sejak 2014 itu sudah mengeluarkan 21 jenis produk termasuk karipap, sosej, donut, bun dan piza yang kesemuanya dihasilkan pada saiz mini.

Sementara itu, produk perabot kayu pine yang dihasilkan dengan rekaan moden dan minimal keluaran CXC Bangsal turut mendapat perhatian pengunjung dalam karnival tersebut.

Usahawannya, Nur Alifah Zakaria berkata, pengunjung boleh memiliki perabot demikian pada harga RM100 ke atas dan nilainya itu disifatkan dua kali ganda lebih murah berbanding yang dijual di Kuala Lumpur.