RMHC membawa keriangan kepada penghuni Asrama Pra Tahfiz Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Persatuan Kebajikan & Pendidikan Baitul Sakinah serta sebilangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, Manir dekat sini.

Pegawai Kanan RMHC, Norazizan A. Manaf berkata, pihaknya memperuntukkan sehingga RM20,000 bagi membolehkan kesemua kanak-kanak membeli sendiri pakaian raya, beg sekolah di samping menikmati hidangan berbuka puasa.

Pihaknya turut mengagihkan bantuan duit raya kepada mereka selain menyalurkan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada dua buah rumah anak yatim iaitu Asrama Pra Tahfiz Perkaya dan Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi.

“Dengan adanya sumbangan ini, kita berharap dapat menggembirakan kanak-kanak ini menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.

Yang hadir sama pemilik francais restoran McDonald Kuala Terengganu yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) RMHC, Mohd. Azmi Jusoh.

Dalam pada itu, pasangan kembar Muhammad Afiq Syahmi Kamaruddin dan Muhammad Azwa Syahman Kamaruddin, 12, dari SK Kesom ternyata gembira kerana diberi peluang untuk memilih sendiri pakaian hari raya mereka.

Pasangan tersebut yang tinggal bersama bapa saudara mereka, Mustafa Abdullah, 48, selepas kehilangan ibu bapa tercinta tiga dan enam tahun lalu mengakui teruja namun tersipu-sipu ketika diminta mengenakan pakaian pilihan masing-masing.

“Mestilah seronok (diberi peluang pilih pakaian sendiri). Terima kasih,” kata Muhammad Azwa Syahman yang turut ditemani adik bongsu mereka yang juga murid Tahun Empat sekolah itu iaitu Muhammad Amierul Syakirien, 10.